Khamis, 25 Jun 2009
TEMPURUNG KELAPA PUNCA REZEKI
HOUSE OF COCONUT SHELL HASILKAN PRODUK SENI KRAF, AKSESORI BERKONSEPKAN KONTEMPORARI
MENGOLAH barang terbuang menjadi sesuatu yang indah bukan kerja mudah. Tambah rumit jika diminta menghasilkan produk seni menggunakan 'sampah sarap' untuk mendapatkan keuntungan atau dijadikan sumber pendapatan, pasti ramai yang akan menyerah kalah.
Bagi pasangan suami isteri, Syalily Sajad dan suami, Azmi Taha, barang terbuang jika diolah dengan kreativiti berbekalkan semangat yang tinggi pasti menjanjikan pulangan berlipat ganda.
Berpayungkan label House of Coconut Shell sudah jelas memberikan bayangan kepada peminat produk kraf dan aksesori berkonsepkan kontemporari mengenai barangan yang dihasilkan Syalily dan Azmi.
Antara aksesori yang dihasilkan ialah rantai, gelang, loket rantai, sepit rambut, anting-anting, pengikat rambut, kepala tali pinggang, dan tali pinggang diperbuat daripada tempurung kelapa.
Selain perhiasan wanita, House of Coconut Shell juga mengeluarkan rangkaian produk perhiasan rumah seperti bidai, lampu dan tabung syiling. Malah, jenama tempatan ini juga turut membekalkan bekas sabun daripada tempurung kelapa ke hotel.
Pelbagai aksesori menarik dari tempurung kelapa.
Medium yang digunakan seratus peratus berasaskan kulit tempurung sememangnya jelas menonjolkan keunikan dan kelainan khususnya di dalam pembuatan aksesori wanita.
Malah produk diperbuat daripada tempurung juga berkualiti dan tahan lama walaupun selepas bertahun dimiliki.
Proses menghasilkan produk kraf dan aksesori tempurung kelapa
Jika dilihat di pasaran, produk kraf berasaskan tempurung kelapa dijual peniaga kraf tempatan berasal dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Rantai dokoh sesuai busana santai dan kasual.
“Tapi perhatikan kehalusan buatannya, ia memang berbeza dengan produk buatan tempatan,” kata Syalily yang kini boleh berbangga apabila produk buatan House of Coconut Shell mula dipasarkan di Amerika Syarikat dan Liverpool melalui hebahan rakan dan saudara mara.
Menceritakan satu persatu proses bagi menghasilkan barangan kraf dan aksesori perhiasan wanita, Syalily memberitahu semua tugas dilakukan sendiri bermula dengan mengutip tempurung kelapa tua dan membersihkan sabut pada tempurung sehingga licin.
“Selepas itu, suami akan memotong tempurung menggunakan mesin acuan mengikut bentuk yang diinginkan, dilicinkan menggunakan mesin pengilat sebelum menyerahkan tugas melukis kepada saya.
“Kebiasaannya kerja melukis akan bermula antara jam 4 hingga 8 pagi kerana hanya waktu itu idea datang. Tapi sekarang disebabkan terlalu banyak tempahan yang diterima, saya terpaksa upah pelajar seni dari universiti tempatan untuk menyiapkan lukisan berupa motif kecil dan mudah,” katanya.
Tidak menggunakan pewarna khas, Syalily berkata dia lebih selesa melukis dan mewarna menggunakan warna air (water color). Tapi untuk menampakkan kelainan, dia turut menggunakan arkilik dan bahan lain seperti batik dan manik sebagai hiasan tambahan.
Antara motif biasa dilakar pada aksesori buatan House of Coconut Shell adalah corak flora dan fauna beridentitikan tempatan seperti kerbau, tapir, kura-kura serta bunga raya, lukisan abstrak dan kartun dari siri TV popular.
Bagi memenuhi kehendak pasaran yang terdiri daripada pelancong asing dan tempatan, Syalily terpaksa bekerja keras mengerah idea bagi memastikan setiap produk dan rekaan yang dijual memenuhi kehendak pasaran.
“Produk saya banyak terdapat di Karyaneka, premis di KLIA dan kedai kraf yang menjadi tumpuan pelancong asing. Jadi ciri khusus seperti pemilihan warna kusam dan lakaran motif bercirikan tempahan perlu dikekalkan.
“Bagaimanapun, saya tidak mewajibkan setiap produk dihasilkan dengan ciri tersebut kerana lain orang lain ragamnya. Misalnya pelajar sekolah lebih gemar aksesori berwarna terang,” katanya.
Kini Syalily boleh berbangga kerana aksesori House of Coconut Shell mempunyai pengikutnya sendiri. Menurut Syalily, loket rantai dan set rantai menjadi produk pilihan ramai kerana ia dibuat bersaiz besar serta mudah disuaikan dengan pakaian pejabat dan kasual.
Idea menubuhkan House of Coconut Shell
Menurut Syalily, membantu kakak angkatnya berniaga produk kraf daripada tempurung kelapa di Pasar Seni selepas tamat persekolahan memberinya ilham untuk menghasilkan produk sama sebagai mata pencarian.
Produk jualan bukan hanya dibuat bagi memenuhi kehendak diri tapi ia juga sebagai cabang rezeki untuk menampung sara hidupnya sekeluarga selepas suami terbabit kemalangan jalan raya.
“Selepas kemalangan, suami saya hilang upaya dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Walaupun ketika itu saya bekerja, jiwa seni yang sedia mengalir di dalam diri membuatkan saya jemu dengan kerja pejabat yang seolah-olah membataskan diri saya untuk berkarya.
“Bermula dari ketika itu, saya dan suami mula mencari tempurung kelapa di pasar sekitar Kuala Lumpur seterusnya menghasilkan hasil kraf daripada bahan terbuang itu secara kecil-kecilan di rumah,” katanya yang mengeluarkan modal hanya untuk membeli peralatan melukis dan mewarna.
Syalily terus mengimbau cerita lama sambil mengucapkan syukur kerana dianugerahkan suami yang rajin dan tidak berputus asa dengan nasib diri walaupun bergelar orang kurang upaya (OKU).
“Tempahan pertama yang kami terima daripada Kraftangan Malaysia berupa sayap rama-rama iaitu sebanyak 1,500 keping. Ia berjaya disiapkan selepas sebulan setengah bertungkus lumus memotong tempurung tanpa bantuan mesin,” katanya.
Syarikat yang beroperasi sejak lima tahun lalu di Kuala Lumpur kini berpindah ke bengkel milik sendiri terletak di Kemaman, Terengganu iaitu di kampung halaman suaminya.
“Lagipun bahan mentah boleh dipungut dari ladang milik sendiri dan ladang kelapa pandan milik Jabatan Pertanian yang terletak tidak jauh dari bengkel kami,” katanya.
INFO: House of Coconut Shell
# Beroperasi di 3016-1, Jalan Kurau, Kampung Geliga, Kemaman, Terengganu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Saya berminat dengan produk di atas. Boleh jadi pengedar tak? Negeri Sembilan..tempurung kelapa pun banyak kat sini.
BalasPadamsalam..blh share x mcm mane nk bentukkan tempurung tu menjadi bentuk kristal or segi empat?guna peralatan apa ye? saya diberi tugas oleh lecture untuk menghasilkan aksesori berasaskan bahan buangan. blh share x peralatan apa yang digunakan?
BalasPadam