Sabtu, 27 Jun 2009

TAMAN GULA MELAKA ISTIMEWA



JASIN 26 Dis. - "Kalau semuanya berjalan seperti dirancang, saya mahu menjadikan ladang kelapa seluas kira-kira 2.4 hektar yang diusahakan untuk menghasilkan gula Melaka sebagai 'Taman Gula Melaka'.

"Benarlah seperti dikata, pada sebatang pokok kelapa, semua yang dicipta ada kegunaannya, daripada buah, batang hinggalah kepada pelepahnya."

Itulah ungkapan yang terkeluar dari mulut Talib Yusof, 50, yang mewarisi perusahaan gula Melaka dari bapanya sejak hampir 20 tahun lalu.

Menurutnya, dia mahu menjadikan ladang kelapanya sebagai satu kawasan perkampungan yang menampilkan pembuatan gula Melaka secara tradisional.

"Kemudian, saya bercadang membukanya kepada pengunjung dari dalam dan luar negara untuk melihat secara lebih dekat perusahaan tradisional ini.

"Ia juga secara tidak langsung akan dapat menambah satu lagi produk pelancongan di negeri ini," katanya.

Tambahnya, dalam perancangannya juga, dia mahu mempelbagaikan lagi produk dari air nira kelapa selain bergantung pada gula Melaka.

"Saya akan cuba menghasilkan cuka dan juga pelbagai air minuman termasuk minuman kecergasan daripada air nira bermula tahun depan.

"Kalau dahulu, arwah bapa boleh menghasilkan gula Melaka, saya juga boleh mempelbagaikannya," kata beliau.

Menceritakan kesukarannya ketika mula mengambil alih perniagaan itu daripada arwah bapanya, dia terpaksa memanjat sendiri pokok kelapa untuk mengambil air nira bagi menghasilkan gula melaka.

"Masa itu, umur baru lingkungan 30 tahun, semuanya saya buat sendiri sehingga perlu panjat lebih 10 batang kelapa sehari.

"Untuk menghasilkan 25 hingga 30 kilogram gula Melaka, ia memerlukan 200 liter air nira kelapa.

"Sebatang pokok kelapa pula cuma dapat menghasilkan kira-kira lima liter air nira sahaja," katanya.

Tambahnya, berkat kesabaran itu, dia kini berasa bangga kerana menjadi satu-satunya pengusaha gula Melaka di kampungnya daripada berpuluh pengusaha yang wujud sebelum ini.

Kini, dengan menggunakan khidmat enam pekerja berpengalaman, menurut Talib, kerja-kerja memungut air nira di kebun kelapanya berjalan lebih lancar.

"Setiap mayang kelapa akan dipotong hujungnya untuk mengeluarkan air nira yang ditadah menggunakan botol plastik.

"Biasanya air nira akan diambil sebanyak dua kali sehari dan setiap pokok kelapa berupaya mengeluarkan empat hingga lima liter dalam sehari.

Katanya, air nira yang telah dikumpul akan dibawa ke tempat memproses di rumahnya sebelum di masak untuk dijadikan Gula Melaka.

"Air nira akan ditapis terlebih dahulu sebelum dimasak selama dua hingga tiga jam sehingga menjadi pekat dan kemudian ia disejukkan selama kira-kira setengah jam serta dituangkan ke dalam cetak yang diperbuat daripada kayu dan buluh.

"Setelah itu, gula Melaka itu tadi akan dipaketkan mengikut pelbagai jenis dan gred," katanya.

Tambahnya, gula Melaka asli akan dijual di pasaran dengan harga sekitar RM8 ke RM10 sekilogram manakala gula melaka yang dicampur harganya lebih murah.

Sebarang keterangan lanjut mengenai hasil gula Melaka boleh menghubungi Talib Yusof di talian 019-6850248.

Khamis, 25 Jun 2009

COCONUT SHAKE POPULAR DI KLEBANG



Minuman air kelapa muda sudah terlalu lumrah dan cukup popular dijual di mana-mana kedai atau restoran.

Tetapi air kelapa segar yang dicampur dengan aiskrim pastinya sesuatu yang pelik didengar namun di Klebang ia menjadi perhatian kerana keenakannya membuatkan mereka yang menikmati minuman ini pasti akan datang lagi.

Air kelapa segar yang dicampur dengan aiskrim pelbagai rasa dan dikenali coconut shake cukup di kenali di Klebang dan jangan terkejut jika ternampak orang ramai memenuhi setiap ruang gerai kecil di tepi jalan menjual minuman itu.

Bukan sahaja terkenal di kalangan penduduk setempat malah orang dari luar Melaka dan pelancong asing juga cukup mengenali gerai ini yang sentiasa dipenuhi dengan pelanggan setiap masa.

Gerai yang diberi nama Coconut Shake Klebang ini, juga menyediakan beberapa minuman segar lain seperti air kelapa dan tebu yang hanya dikopek dan dimesin jika ada permintaan sahaja.

Bagi yang berkunjung ke sini khususnya mereka yang datang dari luar Melaka, gerai ini menjadi tempat persinggahan awal sebelum mereka berkunjung ke beberapa lagi tempat menarik di bandar ini.

Coconut shake yang disediakan di gerai ini, tidak sama seperti di gerai lain kerana kelazatannya apatah lagi dengan campuran aiskrim, air kelapa, gula, isi kelapa dan air batu begitu membangkitkan selera pengunjung yang menikmatinya.

Sudah menjadi kebiasaan sekiranya anda terpaksa beratur panjang menunggu giliran untuk membawa balik coconut shake begitu juga mereka yang datang mencari tempat duduk sehingga adakalanya terpaksa berebut-rebut.

Anda perlu banyak bersabar menanti giliran, pastinya anda akan rasa berbaloi apabila dapat menikmati coconut shake yang begitu menyelerakan ini.

Pemilik gerai, Shafie Ahmad, 47, berkata, dia mula menjual air kepala dan tebu secara kecil-kecilan sejak hampir lima tahun lalu.

Beliau yang merupakan pesara tentera mendapat keuntungan hanya RM5 sehari ketika itu dan terpaksa melalui beberapa detik sukar sebelum gerainya mula dikenali seperti hari ini.

Atas dorongan ahli keluarga terutama adik iparnya, maka dia mencuba untuk membuat intipati coconut shake yang mampu untuk membangkitkan rasa yang unik dan lazat.

Setelah beberapa kali mencuba untuk mencari rasa yang sesuai, akhirnya wujudlah minuman coconut shake yang dapat anda nikmati seperti sekarang dan ramuannya tidak pernah diubahsuai untuk menjaga kualiti dan rasanya.

''Ramai orang cakap minuman coconut shake saya sedap, tapi bagi saya ia biasa sahaja kerana semua ramuannya saya buat menggunakan isi dan air kelapa yang segar dan aiskrim berjenama.

''Terdapat juga pengunjung yang bertanya ilmu apa yang saya gunakan sehingga dapat menggamit begitu ramai pelanggan dan rahsianya saya menjaga ahli keluarga saya untuk rajin bersedekah dan mesra pelanggan,'' katanya.

Setiap segelas minuman coconut shake yang biasa boleh didapati dengan harga semurah RM1.50 dan untuk dibawa balik pula harganya RM1.80.

Untuk menambah lagi keenakan minuman tersebut mereka boleh meminta untuk menambah aiskrim dengan harga RM2.00 dan RM2.20.

Menurut Shafie, setiap hari ada lori yang akan menghantar 18 kotak aiskrim berjenama ke rumahnya dan hampir 200 biji kelapa mataq yang dibeli dari seorang peniaga Cina Segamat.

Tambahnya, dia mampu menjual minuman coconut shake sehingga lebih 1,000 gelas pada hujung minggu dan setiap bulan mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000.

Satu lagi rahsia kejayaan perniagaannya ialah duit hasil jualannya setiap hari akan disimpan sedikit untuk dibayar zakat pada setiap tahun.

''Isteri saya dipertanggungjawabkan untuk mengasingkan wang hasil jualan untuk tujuan zakat dan alhamdullilah tahun lepas saya membayar zakat berjumlah RM3,000 hasil keuntungan yang diperoleh,'' katanya.

Shafie juga menasihatkan ahli keluarganya untuk selalu bersedekah dan jangan berkira terutamanya kepada pelanggan yang datang kerana dari situ rezekinya datang.

''Saya tidak pernah berkira dengan pelanggan saya, sekiranya mereka tidak ada duit kecil saya halalkan sahaja kerana saya tahu pada masa akan datang mereka akan kembali dengan membawa lebih ramai kawan,'' katanya.

Selain itu juga, dia amat mementingkan kebersihan gerainya kerana itu menjadi tarikan untuk pelanggan terus datang.

Katanya, kebersihan amat penting untuk menjaga hati pelanggan kerana jika ia tidak dititikberatkan, pelanggan tidak berasa selesa untuk datang berkunjung terutamanya mereka yang berkeluarga.

Beliau berkata, gerai minumannya beroperasi setiap hari bermula pukul 12.30 tengah hari sehingga 6.30 petang.

Ditanya sama ada beliau ingin mencari kawasan yang lebih luas untuk gerainya, Shafie berkata, dia sudah sebati dengan tempat tersebut kerana di situlah rezekinya datang mencurah-curah.

''Terdapat juga pelanggan yang menyarankan saya untuk mencari kawasan yang lebih luas, tetapi saya lebih selesa berniaga di sini kerana semua pelanggan saya sudah tahu tempat ini,'' katanya.

Selain menyediakan air coconut shake, tebu dan kelapa, gerai ini juga menjual nasi lemak, mi dan aneka kuih untuk sama-sama dinikmati pada waktu operasinya.

TEMPURUNG KELAPA PUNCA REZEKI



HOUSE OF COCONUT SHELL HASILKAN PRODUK SENI KRAF, AKSESORI BERKONSEPKAN KONTEMPORARI

MENGOLAH barang terbuang menjadi sesuatu yang indah bukan kerja mudah. Tambah rumit jika diminta menghasilkan produk seni menggunakan 'sampah sarap' untuk mendapatkan keuntungan atau dijadikan sumber pendapatan, pasti ramai yang akan menyerah kalah.

Bagi pasangan suami isteri, Syalily Sajad dan suami, Azmi Taha, barang terbuang jika diolah dengan kreativiti berbekalkan semangat yang tinggi pasti menjanjikan pulangan berlipat ganda.

Berpayungkan label House of Coconut Shell sudah jelas memberikan bayangan kepada peminat produk kraf dan aksesori berkonsepkan kontemporari mengenai barangan yang dihasilkan Syalily dan Azmi.

Antara aksesori yang dihasilkan ialah rantai, gelang, loket rantai, sepit rambut, anting-anting, pengikat rambut, kepala tali pinggang, dan tali pinggang diperbuat daripada tempurung kelapa.

Selain perhiasan wanita, House of Coconut Shell juga mengeluarkan rangkaian produk perhiasan rumah seperti bidai, lampu dan tabung syiling. Malah, jenama tempatan ini juga turut membekalkan bekas sabun daripada tempurung kelapa ke hotel.
Pelbagai aksesori menarik dari tempurung kelapa.

Medium yang digunakan seratus peratus berasaskan kulit tempurung sememangnya jelas menonjolkan keunikan dan kelainan khususnya di dalam pembuatan aksesori wanita.

Malah produk diperbuat daripada tempurung juga berkualiti dan tahan lama walaupun selepas bertahun dimiliki.

Proses menghasilkan produk kraf dan aksesori tempurung kelapa

Jika dilihat di pasaran, produk kraf berasaskan tempurung kelapa dijual peniaga kraf tempatan berasal dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Rantai dokoh sesuai busana santai dan kasual.

“Tapi perhatikan kehalusan buatannya, ia memang berbeza dengan produk buatan tempatan,” kata Syalily yang kini boleh berbangga apabila produk buatan House of Coconut Shell mula dipasarkan di Amerika Syarikat dan Liverpool melalui hebahan rakan dan saudara mara.

Menceritakan satu persatu proses bagi menghasilkan barangan kraf dan aksesori perhiasan wanita, Syalily memberitahu semua tugas dilakukan sendiri bermula dengan mengutip tempurung kelapa tua dan membersihkan sabut pada tempurung sehingga licin.

“Selepas itu, suami akan memotong tempurung menggunakan mesin acuan mengikut bentuk yang diinginkan, dilicinkan menggunakan mesin pengilat sebelum menyerahkan tugas melukis kepada saya.

“Kebiasaannya kerja melukis akan bermula antara jam 4 hingga 8 pagi kerana hanya waktu itu idea datang. Tapi sekarang disebabkan terlalu banyak tempahan yang diterima, saya terpaksa upah pelajar seni dari universiti tempatan untuk menyiapkan lukisan berupa motif kecil dan mudah,” katanya.

Tidak menggunakan pewarna khas, Syalily berkata dia lebih selesa melukis dan mewarna menggunakan warna air (water color). Tapi untuk menampakkan kelainan, dia turut menggunakan arkilik dan bahan lain seperti batik dan manik sebagai hiasan tambahan.

Antara motif biasa dilakar pada aksesori buatan House of Coconut Shell adalah corak flora dan fauna beridentitikan tempatan seperti kerbau, tapir, kura-kura serta bunga raya, lukisan abstrak dan kartun dari siri TV popular.

Bagi memenuhi kehendak pasaran yang terdiri daripada pelancong asing dan tempatan, Syalily terpaksa bekerja keras mengerah idea bagi memastikan setiap produk dan rekaan yang dijual memenuhi kehendak pasaran.

“Produk saya banyak terdapat di Karyaneka, premis di KLIA dan kedai kraf yang menjadi tumpuan pelancong asing. Jadi ciri khusus seperti pemilihan warna kusam dan lakaran motif bercirikan tempahan perlu dikekalkan.

“Bagaimanapun, saya tidak mewajibkan setiap produk dihasilkan dengan ciri tersebut kerana lain orang lain ragamnya. Misalnya pelajar sekolah lebih gemar aksesori berwarna terang,” katanya.

Kini Syalily boleh berbangga kerana aksesori House of Coconut Shell mempunyai pengikutnya sendiri. Menurut Syalily, loket rantai dan set rantai menjadi produk pilihan ramai kerana ia dibuat bersaiz besar serta mudah disuaikan dengan pakaian pejabat dan kasual.

Idea menubuhkan House of Coconut Shell

Menurut Syalily, membantu kakak angkatnya berniaga produk kraf daripada tempurung kelapa di Pasar Seni selepas tamat persekolahan memberinya ilham untuk menghasilkan produk sama sebagai mata pencarian.

Produk jualan bukan hanya dibuat bagi memenuhi kehendak diri tapi ia juga sebagai cabang rezeki untuk menampung sara hidupnya sekeluarga selepas suami terbabit kemalangan jalan raya.

“Selepas kemalangan, suami saya hilang upaya dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Walaupun ketika itu saya bekerja, jiwa seni yang sedia mengalir di dalam diri membuatkan saya jemu dengan kerja pejabat yang seolah-olah membataskan diri saya untuk berkarya.

“Bermula dari ketika itu, saya dan suami mula mencari tempurung kelapa di pasar sekitar Kuala Lumpur seterusnya menghasilkan hasil kraf daripada bahan terbuang itu secara kecil-kecilan di rumah,” katanya yang mengeluarkan modal hanya untuk membeli peralatan melukis dan mewarna.

Syalily terus mengimbau cerita lama sambil mengucapkan syukur kerana dianugerahkan suami yang rajin dan tidak berputus asa dengan nasib diri walaupun bergelar orang kurang upaya (OKU).

“Tempahan pertama yang kami terima daripada Kraftangan Malaysia berupa sayap rama-rama iaitu sebanyak 1,500 keping. Ia berjaya disiapkan selepas sebulan setengah bertungkus lumus memotong tempurung tanpa bantuan mesin,” katanya.

Syarikat yang beroperasi sejak lima tahun lalu di Kuala Lumpur kini berpindah ke bengkel milik sendiri terletak di Kemaman, Terengganu iaitu di kampung halaman suaminya.

“Lagipun bahan mentah boleh dipungut dari ladang milik sendiri dan ladang kelapa pandan milik Jabatan Pertanian yang terletak tidak jauh dari bengkel kami,” katanya.

INFO: House of Coconut Shell

# Beroperasi di 3016-1, Jalan Kurau, Kampung Geliga, Kemaman, Terengganu.

PENGENALAN TENTANG KELAPA



POKOK KELAPA
Pokok kelapa atau coconut(dalam bahasa inggeris) adalah tumbuhan saka, tempoh ekonomi adalah melebihi 25 tahun. Pokok boleh mencapai ketinggian 6 hingga 30 meter bergantung kepada variasi. Ia didapati di semua kawasan tropika. Keseluruhan pokok kelapa dapat dimanfaatkan kepada pelbagai guna.

Pokok kelapa (Cocos nucifera L.) adalah ahli keluarga Arecaceae (keluarga palma). Ia merupakan spesies tunggal yang dikelaskan dalam genus Cocos dan merupakan pokok palma yang besar, tumbuh setinggi 30 meter, dengan pelepah daun (pinnate) sepanjang 4-6 meter, dengan helaian daun (pinnae) sepanjang 60-90 cm; pelepah tua luruh meninggalkan batang pokok yang licin.

ASAL POKOK KELAPA
Asal pokok Kelapa telah menjadi perbahasan dengan sesetengah pihak berkuasa mendakwa bahawa ia berasal dari semenanjung Asia Tenggara sementara yang lain pula mendakwa bahawa ia berasal di barat laut Amerika Selatan.

Rekod fosil di New Zealand menunjukkan pokok kecil seperti kelapa tumbuh di situ semenjak 15 juta tahun dahulu. Fosil yang lebih tua telah dijumpai di Rajasthan, India. Walau dari manapun asal pokok kelapa, ia telah tersebar disebahagian besar kawasan tropika, terutamanya sepanjang persisiran pantai. Oleh kerana buah kelapa ringan dan timbul, pokok kelapa mudah tersebar oleh arus laut yang mampu membawa buah kelapa pada jarak yang jauh. Pokok kelapa hidup subur di tanah berpasir, paya dengan banyak cahaya matahari dan hujan yang tetap (75-100 cm setahun), yang menjadikan koloni di pantai agak mudah. Buah yang dikumpulkan dari laut jauh ke utara seperti Norway telah di dapati masih utuh dan mampu tumbuh setelah diberikan keadaan yang sesuai. Bagaimanapun di Kepulauan Hawai, pokok kelapa dianggap diperkenalkan oleh orang Polinesia, pertama diperkenalkan ke kepulauan oleh pelayar Polinesia dari tanah asal mereka di Pasifik Selatan.

BUAH KELAPA
Secara botani, buah kelapa merupakan "buah kering" yang dikenali sebagai pepauh(ataupun drup) bergentian (bukannya "kacang"). Mesokarpa terdiri daripada gentian yang dikenali sebagai sabut dan terdapat tempurung (endokarpa). Tempurung keras mempunyai tiga liang percambahan yang jelas kelihatan di permukaan luar apabila sabutnya dibuang. Melalui salah satu darinya pucuk keluar apabila embrionya bercambah. Apabila dilihat dari satu bahagian, tempurung dan liang percambahan kelihatan seperti muka monyet yang merupakan istilah bahasa Portugis iaitu coco.

KEGUNAAN
Kesemua bahagian pokok kelapa berguna kecuali kemungkinannya bahagian akar dan pokok kelapa mampu menghasilkan sehingga 75 biji kelapa setahun; dengan itu, ia mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Malah, nama pokok kelapa dalam bahasa Sanskrit adalah Kalpa Vriksha, yang diterjemahkan sebagai "pokok yang membekalkan semua keperluan kehidupan". Kegunaan pelbagai bahagian kelapa termasuk:

� Batang kelapa boleh dibuat titi;
� Daun kelapa boleh dibuat pembalut makanan;
� Lidi kelapa boleh dibuat penyapu;
� Sabut kelapa boleh dibuat tali; dan
� Tempurung kelapa boleh diproses menjadi ubat nyamuk dan barangan kraftangan.
Buah kelapa yang muda boleh diminum, sementara kelapa tua boleh diproses untuk menghasilkan santan, minyak kelapa dan pelbagai lagi.